MPR 2002 KERAMAT DAN MERDEKA »

MENGANGKASAKAN

MANTAN MPR 2002

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

"Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan jadilah engkau diantara orang yang bersujud yakni solat.Dan sembahlah Tuhanmu sampai yakin (ajal) datang kepadamu." Al-Hijr : 98-99


Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

PERHATIAN!!!
Email penulis joharibrave di yahoo mail tidak lagi digunakan berikutan di senarai sebagai spam.Kepada mereka yang ingin berbicara silakan di sengkuangmerah@yahoo.com

Kepada mereka yang minat dan ingin mengetahui perihal spiritual dan paranormal sila layari dan menjadi member di Forum Paranormal Malaysia

Bagaimana untuk memartabatkan Mantan Minggu Penulis Remaja

Thursday, December 13, 2007

Hadiah Sastera Mastera mencari kekuatan serantau

Oleh Azman Ismail


ISKANDAR Sarudin (dua dari kiri) dan Firdaus Abdullah bersama-sama barisan penerima Hadiah Sastera Mastera 2007. Paling kanan ialah Maman S. Mahayana, Azizi Abdullah, wakil Raudal Tanjung Banua dan Muslim Burmat.

SEJAK ditubuhkan secara rasmi pada 1996, Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) telah bergerak jauh dalam menghasilkan karya-karya terbaik oleh penulis-penulis Malaysia, Brunei Darussalam dan Indonesia.

Cukup banyak karya-karya fiksyen dan bukan fiksyen terbaik dihasilkan. Ia tidak hanya buah fikiran penulis-penulis mapan tetapi turut mencungkil nama-nama baru.

Kerjasama ketiga-tiga negara itu membawa erti yang cukup besar, bukan sahaja melahirkan karya-karya kreatif tetapi juga tulisan bukan kreatif yang merangkumi bidang teori, kritikan serta wacana sastera.

Pada tahun ini, sekali lagi Hadiah Sastera Mastera diadakan untuk mengiktiraf karya-karya terbaik dalam kedua-dua kategori tersebut. Setiap pemenang akan meraih RM10,000.

Malaysia dan Indonesia dalam Hadiah Sastera Mastera ke-5, 2007 mungkin mempunyai ‘nasib’ yang berbeza khususnya usia generasi penerima anugerah.

Malaysia pada tahun ini memberikan pengiktirafan kepada penulis veteran dan penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 1983, Azizi Abdullah yang meraihnya melalui novel, Sangeetha (2006) bagi Kategori Karya Sastera Kreatif.

Kejayaannya itu telah mengetepikan kumpulan puisi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Iga karya penulis generasi selepasnya, Zaen Kasturi.

Sangeetha dipilih kerana ia mempunyai kekuatan yang memukau dalam beberapa aspek. Ia mengapungkan tema yang jarang-jarang yang diungkapkan dalam cereka Melayu moden iaitu tentang dunia sepi dan orang tua.

Azizi sebagai pengarang telah menggarap dan memanipulasi peranti seninya untuk disesuaikan dengan rentak dan warna tema yang dipilihnya dengan gaya penceritaan yang baik.

Unsur lain yang tidak kurang menarik ialah keupayaan Azizi menggunakan watak-watak dan penceritaan yang melangkaui batas-batas etnik, bahasa dan budaya.

Tiga watak utama telah dimunculkan iaitu Viralal tua dan isterinya Sangeetha serta Derus lelaki bujang yang merupakan seorang pesara posmen yang bekerja di rumah keluarga Viralal.

Kematian Viralal adalah kunci penceritaan yang cuba diangkat oleh Azizi. Detik tersebut menjadi titik tolak kepada hubungan mesra antara Derus yang berusia 70-an dengan Sangeetha yang berumur 80-an.

Hubungan itu tidak didasarkan oleh nafsu tetapi kesunyian dan psikologi golongan tua yang digambarkan dengan gaya bahasa yang menarik termasuk penggunaan simbol melalui alam flora serta fauna.

Sebagai sebuah novel, Sangeetha menawarkan pengalaman estetika yang menarik serta menghidangkan pengalaman intelektual yang baharu - kerana temanya yang memasuki ranah persoalan yang jarang ditemukan dalam karya-karya moden hari ini.

Mungkin sedikit disayangkan sebagaimana pandangan para panel untuk Malaysia yang diketui oleh Datuk Dr. Anwar Ridhwan ialah gerak dan perjalanan cerita novel berkenaan yang agak lambat.

Namun, Azizi sebagai pengarang pasti mempunyai alasan tersendiri. Ia pasti berkaitan dengan usia watak utamanya (Sangeetha) sehingga kadang-kadang wujud pengulangan kerana ia disampaikan dalam latar yang sama.

Biarpun begitu, ia tidak menjejaskan estetika cerita. Sangeetha tetap membuktikan penelitian yang mendalam Azizi mengenai pelbagai aspek yang membina naratif itu seperti Islam, kepercayaan Hinduisme, budaya Melayu mahupun India.

Tidak sedikit, ia memperlihatkan keupayaan Azizi menyelami falsafah alam, flora dan fauna serta seni bina di negara ini iaitu rumah limas dan beberapa peralatan muzik seperti tabla (India) dan gambus (Melayu).

Hadiah Sastera Mastera ke-5 bagi Indonesia bagaimanapun memperlihatkan kemenangan genre puisi iaitu Gugusan Mata Ibu (2005) karya Raudal Tanjung Banua, penulis berusia 32 tahun.

Kumpulan puisi berkenaan memberikan sentuhan kepada persoalan kemanusiaan dengan gaya memukau. Kata-kata yang disusun merungkai dengan baik tentang kemurnian kasih seorang anak kepada ibunya.

Puisi-puisinya banyak terucap dalam bahasa simbol dan bahasa citra. Fikiran, pengalaman dan perasaan diluahkan dengan bahasa yang mampu mengajak pembaca ke satu ruang psikologi dan kemanusiaan.

Estetika yang melandasi hampir setiap larik dan bunyi menjadikan puisi-puisi beliau titik pengembaraan pembaca untuk menyelami dan kadang-kadang terperangkap dalam gaya metaforanya.

Tiada kejutan

Bagaimanapun tidak ada sebarang ‘kejutan’ dalam pemilihan pemenang bagi Brunei Darussalam. Pengarang veteran, Muslim Burmat melalui novelnya Ntaidu (2006) berjaya mengetepikan kumpulan puisi Salam Takwa (2006) karya Zairi M.S.

Kategori Karya Bukan Kreatif pada tahun ini diraih oleh Indonesia melalui Pensyarah Sastera Universiti Indonesia (UI) dan aktivis sastera, Maman S. Mahayana.

Kemenangan yang diperoleh melalui bukunya itu, 9 Jawapan Sastera Indonesia: Sebuah Orientasi Kritik secara tidak langsung ia memecah dominasi Malaysia dalam kategori tersebut yang memenangi pada 1999, 2001 dan 2005.

Indonesia hanya memenanginya pada 2003 Kajian Tasawuf Yang Tertindas tulisan Abdul Hadi WM manakala Malaysia meraihnya melalui Pemikiran Adab Ketatanegaraan Kesultanan Melayu - 2005 (Dr. Jelani Harun).

Dua lagi kemenangan ialah Puitika Sastera Melayu -2001 (Prof. Dr. Muhammad Salleh) dan Rasa-Fenemenologi: Penerapan Terhadap Karya A. Samad Said - 1999 (Prof. Madya Dr. Sohaimi Abdul Aziz).

Pemilihan hasil penelitian Maman tersebut sebagai pemenang adalah sejajar dengan keupayaan beliau merungkaikan menyeluruh tentang kritikan sastera Indonesia ketika dunia kritikan negara itu sepi daripada kelahiran karya kritikan baru.

Antara lain, beliau mengetengahkan perbincangan pelbagai teori dan pendekatan dalam kritikan sastera selain mengusulkan beberapa perspektif baru yang gagal disentuh oleh para pengamat dan peneliti sastera negara itu.

Selain itu, karya kritikan tersebut menjadi jawapan kepada keresahan para pengarang di negara itu sedang bergelumang dengan krisis dan pencarian identiti.

Namun, di sebalik hadiah kepada sarjana dan pengarang dari ketiga-tiga negara anggota itu, wajarkah Mastera terus berada di tahap lama seperti lebih sedekad ia diperkenalkan? Dalam erti kata lain membuat beberapa anjakan dan perubahan.

Sastera Asia Tenggara sebenarnya turut memasuki internasionalisme, sekali gus menuntut daya saing daripada pengarang serta pengkritik sastera serantau.

Setidak-tidaknya Mastera yang hanya dianggotai oleh tiga negara dapat dijadikan pemangkin untuk meneroka kerjasama dengan penulisan kreatif berbahasa Thai, Vietnam, Kemboja, Myammar dan Laos.

Oleh itu, tidak wajar, Mastera hanya terus berada dalam kepompong tiga negara sahaja. Usaha untuk menjalinkan hubungan secara keseluruhan antara negara-negara serantau perlu dilakukan. Ia sesuai dengan konsep Asia Tenggara yang digunakan dalam Mastera.

Ini sangat penting supaya karya pengarang dan pengkritik negara-negara anggota dapat diterima bukan sahaja di negara-negara anggota tetapi juga di peringkat serantau.

Sementara itu, hadiah-hadiah disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha III, Kementerian Luar Negeri, Datuk Iskandar Sarudin dan turut dihadiri oleh Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Firdaus Abdullah.

Sarudin turut merasmikan Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara Ke-5 yang menampilkan sarjana-sarjana dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei Darussalam dan Thailand.

0 komen anda: