PETALING JAYA, 13 Dis (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata golongan yang membuat fitnah terhadap Malaysia di luar negara terdiri daripada mereka yang tidak sayangkan negara ini.
"Rakyat juga marah kepada golongan yang pergi ke luar negeri yang cari sokongan dan membuat cerita serta tuduhan bukan-bukan.
"Mereka sebenarnya tidak sayangkan negara, mereka hanya tamak kuasa dan, apa jadi kepada negara, mereka tak kisah," katanya kepada pemberita selepas menerima memorandum daripada kumpulan Damai Malaysia yang membantah demonstrasi jalanan di negara ini.
Perdana Menteri berkata golongan yang terlalu taksub dengan pandangan mereka itu tidak langsung mempedulikan kesan daripada tindakan mereka itu.
"Kita yang kena hadapi semua. Keamanan dan kesejahteraan rakyat itu yang kita kena pertahankan," katanya.
Damai Malaysia yang merupakan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) prihatin Malaysia menyerahkan memorandum lima muka surat daripada 395 NGO yang sepakat menolak demonstrasi jalanan dan menggesa kerajaan bertindak tegas terhadap mereka yang terlibat.
Abdullah berkata bahawa Malaysia maju dan berjaya selama ini berdasarkan amalan demokrasi yang menghormati dan mendukung undang-undang serta perlembagaan negara.
Katanya negara ini masih memberikan kebebasan kepada rakyat untuk menyuarakan pendapat termasuk menerusi media massa.
"Kalau kebebasan itu digunakan dengan tidak bertanggungjawab, maka akan berlaku kerugian kepada rakyat," kata Perdana Menteri.
Katanya akibat tindakan mengadakan demonstrasi jalanan kebelakangan ini, pelbagai sektor mengalami kerugian terutamanya sektor pelancongan dan perniagaan.
Abdullah berkata beliau dimaklumkan bahawa hotel-hotel di kawasan Bukit Bintang mengalami pembatalan tempahan bilik sebanyak 10 peratus akibat daripada demonstrasi jalanan yang berlaku.
"Kalau sudah 10 peratus tempahan bilik-bilik di hotel berkenaan dibatalkan, ini merupakan kerugian kepada pihak hotel. Di samping itu saya percaya agensi pelancongan dan bas pelancongan juga terlibat dengan pembatalan," katanya.
Memorandum itu, yang diserahkan oleh Pengerusi Penyelaras Damai Malaysia Mohd Saiful Adil Mohd Daud, mengandungi deklarasi mengutuk sebarang penganjuran demonstrasi jalanan dan menolak cara itu digunakan bagi membincangkan isu sensitif melibatkan kaum serta agama.
Deklarasi itu juga mengecam tindakan pihak tertentu menggunakan penipuan, fitnah dan hasutan untuk meraih sokongan negara asing dan kuasa luar bagi mencampuri urusan dalaman negara ini.
Antara 395 NGO yang menganggotai gabungan Damai Malaysia ialah Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC), Majlis Belia Felda Malaysia, Gabungan Persatuan-persatuan Cina Malaysia dan Pertubuhan Kebajikan India Bersatu.
Kemudian ketika berucap di Kuantan sebaik tiba untuk lawatan sehari ke Pahang, Abdullah melabelkan puak yang mengemis campur tangan pihak luar sebagai pengkhianat manakala tindakan kumpulan Hindraf yang mendakwa memperjuangkan kaum India di Malaysia merupakan satu cubaan untuk merosakkan negara dan perpaduan kaum.
"Ini satu pengkhianatan kepada negara kita, adakah penghapusan etnik berlaku? Tidak ada langsung untuk menghapuskan orang India di negara ini," katanya pada majlis menyambut ketibaan beliau dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah di Pangkalan TUDM.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.
Abdullah berkata kerajaan pimpinan Barisan Nasional sentiasa mendengar suara rakyat yang disampaikan menerusi saluran yang betul seperti menerusi wakil rakyat, persatuan, badan-badan bukan kerajaan atau menerusi jawatankuasa-jawatankuasa tertentu.
"Kita menjayakan pembangunan mengikut hasrat dan kehendak rakyat dan kita mengamalkan dasar membantu sesama kaum," katanya.
-- BERNAMA

PERHATIAN!!!
Email penulis joharibrave di yahoo mail tidak lagi digunakan berikutan di senarai sebagai spam.Kepada mereka yang ingin berbicara silakan di sengkuangmerah@yahoo.com
Kepada mereka yang minat dan ingin mengetahui perihal spiritual dan paranormal sila layari dan menjadi member di Forum Paranormal Malaysia
Bagaimana untuk memartabatkan Mantan Minggu Penulis Remaja
Anda disini: Home > Pengetahuan Am > Mereka Tak Sayang Negara, Kata Abdullah
Thursday, December 13, 2007
Mereka Tak Sayang Negara, Kata Abdullah
Ditulis sendiri oleh
joharibrave
Masa
7:39 PM
rujukan: Pengetahuan Am
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 komen anda:
Tindak tanduk mereka tidak sedikit pun menunjukkan yang mereka sayangkan negara. Mereka lebih pentingkan agenda peribadi dan kumpulan mereka. Keselamatan negara tolak tepi, yang penting ialah kehendak mereka.Bagi mereka matlamat boleh sahaja menghalalkan cara. Memang ISA sesuai sgt untuk mereka
Post a Comment