MPR 2002 KERAMAT DAN MERDEKA »

MENGANGKASAKAN

MANTAN MPR 2002

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

"Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan jadilah engkau diantara orang yang bersujud yakni solat.Dan sembahlah Tuhanmu sampai yakin (ajal) datang kepadamu." Al-Hijr : 98-99


Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

PERHATIAN!!!
Email penulis joharibrave di yahoo mail tidak lagi digunakan berikutan di senarai sebagai spam.Kepada mereka yang ingin berbicara silakan di sengkuangmerah@yahoo.com

Kepada mereka yang minat dan ingin mengetahui perihal spiritual dan paranormal sila layari dan menjadi member di Forum Paranormal Malaysia

Bagaimana untuk memartabatkan Mantan Minggu Penulis Remaja

Thursday, November 29, 2007

Sejarah mampu lonjak wibawa karya sastera

Oleh Shaidah Shafie


SEPAKAT: Dari kiri Datuk Dr Siti Hawa Salleh, Dr Jelani Harun, Maman S Mahayana, Dayang Aminah dan Dr Nor Faridah membedah kepentingan sejarah dalam karya sastera.

Sarjana dalam dan luar negara membedah kepentingan perkara ini pada Seminar Mastera 2007

KEPENTINGAN fakta sejarah dan keupayaannya melonjakkan nilai seni sesebuah karya sastera yang ditangani pengarang kreatif dibincangkan secara rinci di kalangan panel pada Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara 2007 di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), kelmarin.

Hakikat ini antaranya diperakukan Penolong Pengarah Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Hashim Ismail, ketika membincangkan Merenung Kembali Sejarah dan Sastera dalam Konteks Pemikiran Semasa.


“Penelitian terhadap hasil sastera sejarah akan meletakkan pengkaji dalam situasi berhadapan dengan kekayaan dan kepelbagaian selain membuka ruang kepada mereka menyorot impian makna di sebalik peristiwa sejarah yang akhirnya menonjolkan kebijaksanaan pengarang menafsir dan menampilkan keindahan berbahasa mereka,” katanya pada seminar dua hari anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara disertai negara anggota Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam di samping ahli pemerhati, Singapura, di samping berlangsung majlis penyampaian Hadiah Sastera Mastera yang memberi pengiktirafan kepada pengarang dan sarjana sastera.

Bagaimanapun, Dr Hashim mengakui keindahan teks yang dikatakan terpancar pada bahasa pengarang adalah pandangan peribadi kerana sifatnya yang subjektif dan tidak terletak pada satu posisi saja.

“Tun Sri Lanang atau Ranggawarsita umpamanya antara tokoh pengarang silam yang menampilkan adunan indah dalam teks sastera meskipun penulisan mereka bersumberkan sejarah. Kejayaan mereka terbit daripada kebijaksanaan akal dan pencerahan kalbu dalam mencari makna tersirat,” katanya.

Rektor Kolej Yayasan Melaka, Prof Datuk Dr Ramlah Adam, memperakukan sejarah dan sastera meskipun dua bidang berbeza, tetapi mempunyai fungsi sama dalam melahirkan masyarakat yang mempunyai jati diri.

“Melalui sastera, sesuatu peristiwa dalam sejarah turut dapat dimasukkan walaupun ia ditokok tambah untuk menghasilkan estetika yang menjadi tuntutan dalam karya seni. Apa saja boleh berlaku dalam sastera sama ada logik atau tidak kerana ia menyimpan maksud tersirat.

“Di Malaysia, ada banyak karya sedemikian yang dihasilkan untuk maksud sebaliknya dan menjelaskan lagi bahawa sejarah dapat disatukan dengan sastera selagi ia tidak mengganggu ciri karya sastera serta nilai estetika karya itu,” katanya ketika membicarakan Sastera dan Sejarah: Dua Dunia Dalam Satu Cerita dan kertas kerja berkenaan disediakan bersama Sahban Md Smail.

Felo Bahasa dan Kebudayaan Melayu, Institut Pendidikan Nasional, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura, Kartini Anwar, senada dengan Dr Hashim apabila turut bersetuju bahawa sejarah sebagai acuan penting dalam melahirkan karya sastera bermutu yang mampu melangkaui zaman dan akan terus diperkatakan sekalipun dalam jangka panjang.

“Sejarah menjadi mekanisme penting dalam membentuk masyarakat, negara mahupun bangsa melalui perkembangan peradabannya. Melalui sejarah, gambaran budaya, kepercayaan, falsafah dan sistem kehidupan yang dianuti masyarakat dapat dicerna sebaik mungkin. Sejarah juga mampu mengisi ruang yang ada pada ilmu lain,” katanya ketika menyinggung Menyelak Tirai Sejarah: Tuhfat al-Nafis dan Surat-Surat Perempuan Johor.

“Sastera dan sejarah adalah dua disiplin berbeza, tetapi tidak bermakna kedua-duanya tidak boleh digandingkan kerana dalam banyak keadaan, disiplin itu sering muncul selari terutamanya menerusi karya sastera historiografi seperti Tuhfat al-Nafis tulisan Raja Ali Haji dan Surat-Surat Perempuan Johor (Faisal Tehrani).

“Melalui karya yang diperkatakan itu, pengarang memperlihatkan kepedulian yang tinggi terhadap sumbangan teks. Raja Ali Haji menerusi Tuhfat al-Nafis mempunyai objektif bagi menentukan fungsi teks untuk khalayak sasar manakala pengarang kontemporari Faisal pula berkemahiran untuk merangsang budaya keintelektualan khalayak masa kini,” katanya.

Sungguhpun demikian, Kartini tidak bertujuan membandingkan kedua-dua pengarang terbabit kerana mereka mewakili dua era berbeza dan memiliki sentuhan tersendiri lewat karya kreatif mereka meskipun hakikatnya, kedua-duanya mengangkat sejarah lewat teks.

“Raja Ali Haji menerusi Tuhfat al-Nafis memaparkan konsep sejarah yang luas dan dibuat secara kronologi serta teliti menjadikan karya itu dapat dinikmati hingga merentas zaman manakala Faisal pula mengajak khalayak menelusuri sejarah untuk melakar masa depan bagi mendorong khalayak menyaring sejarah yang sebenar,” katanya.

Timbalan Pengarah DBP Brunei Darussalam, Dayang Aminah Momin mengabsahkan lagi sejarah boleh dimanfaatkan dalam karya kesusasteraan melalui pembentangan Sastera dan Sejarah: Tradisi dan Kesinambungan dalam Mahkota Berdarah karya Yura Halim.

“Keistimewaan novelet Mahkota Berdarah bukan hanya sekadar karya sejarah, tetapi turut sarat fakta sejarah mengenai kesultanan Brunei ke-12, 13 dan 14 khususnya dalam perkara bersabit nama, watak, latar tempat dan tarikh peristiwa sejarah Brunei Tua,” katanya.

Pensyarah Jabatan Bahasa Inggeris, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Nor Faridah Abdul Manaf yang meninjau kebangkitan sastera di Thailand pula, mengesan adanya akar sejarah dalam karya kesusasteraan negara itu walaupun berbaur isu politik.

“Sebarang perbincangan membabitkan sastera dan sejarah, politik tetap kukuh memunculkan kuasa. Dalam konteks sastera dan sejarah Thai, kuasa politik tidak boleh diketepikan, malah berfungsi pula mengheret sastera kepada acuan yang dikehendaki pihak terbabit,” katanya ketika mengupas Sastera dan Sejarah Thai: Satu Percaturan Kuasa.

Justeru, pembentukan karya sastera negara jiran itu memperlihatkan senario semakin kuat kuat kawalan terhadap karya kesusasteraan, bertambah giat pengarang mereka menghasilkan penulisan bersifat semasa sehingga memperlihatkan kedudukan sastera di negara Gajah Putih itu seperti catur iaitu bergantung kepada kekuatan pembesar negara.


0 komen anda: